Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

2 Lelaki Ditahan Dipercayai Palsu Kad Kredit

Diterbitkan: 13 Jun 2014 3.32 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Hasil tangkapan itu pihaknya menjumpai 37 kad kredit palsu daripada kedua-dua lelaki berkenaan..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/2-lelaki-ditahan-dipercayai-palsu-kad-kredit
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:05 MYT

KOTA KINABALU 15 Mac 2010 - Polis menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berasal dari Perak dan Pulau Pinang kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit tempatan dan antarabangsa.

Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 pagi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, ketika hendak menaiki pesawat ke Hong Kong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, hasil tangkapan itu pihaknya menjumpai 37 kad kredit palsu daripada kedua-dua lelaki berkenaan.

"Salah seorang daripada suspek menyimpan sebanyak 19 kad kredit palsu di dalam poket seluar.

"Siasatan awal mendapati semua kad kredit itu mempunyai had penggunaan antara RM13,000 dan RM15,000.

"Kita percaya kad-kad itu untuk digunakan di dalam dan luar negara kerana ada yang tidak dilengkapi cip," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, tangkapan tersebut merupakan kes pertama di negeri ini dan ia dilakukan selepas pemantauan rapi polis hasil maklumat orang awam.

Hock Sing memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kedua-dua suspek bagi mengenal pasti kemungkinan ada pihak lain yang terlibat dalam sindiket itu.

"Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan ada pihak lain yang terlibat dalam kes tersebut," katanya.

ArtikelDiterbitkan 13 Jun 2014 3.32 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM