Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

11 Lelaki Rompak Rm1 6 Juta

Diterbitkan: 26 Jan 2016 3.21 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 26 Jan - Sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan parang menyamun dua pekerja syarikat pengedar emas dan melarikan wang tunai RM1.6 juta di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/11-lelaki-rompak-rm1-6-juta
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 17:20 MYT


Kuala Lumpur, 26 Jan - Sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan parang menyamun dua pekerja syarikat pengedar emas dan melarikan wang tunai RM1.6 juta di Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Insiden berlaku pada pukul 10 pagi ketika kedua-dua pekerja itu termasuk seorang pengawal keselamatan dalam perjalanan menghantar wang jualan emas milik syarikat itu ke sebuah bank di Taman Desa di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata mereka yang masing-masing menaiki motosikal kemudian dihampiri 11 lelaki dalam sebuah kereta dan lima motosikal.

"Seorang daripada penunggang motosikal itu kemudian bertindak melanggar motosikal dinaiki pengawal keselamatan berusia 54 tahun sebelum kumpulan itu mengacukan pistol dan pisau rambo ke arah kedua-dua mangsa.

"Selepas itu, mereka merampas beg galas mengandungi wang tunai itu daripada pekerja syarikat yang berusia 32 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sharul Othman berkata wang itu adalah hasil kutipan jualan syarikat sejak Jumaat lepas.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu pengawal keselamatan berkenaan patah bahu kiri manakala satu lagi mangsa cedera ringan di siku kanan.

Beliau berkata nombor pendaftaran salah sebuah motosikal yang digunakan kumpulan perompak itu telah dikenal pasti manakala lakaran fotofit bagi tiga suspek juga sudah diperoleh.

Pihak forensik juga sedang mengesan cap jari suspek selain meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, katanya.

Sharul Othman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 26 Jan 2016 3.21 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM