Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

11 Individu Termasuk Tiga Beradik Ditahan Dadah Bernilai Le

Diterbitkan: 17 Jun 2014 5.44 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
'Susulan penahanan itu, polis dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran sebelum menahan empat lagi rakannya, dua lelaki dan dua wanita, yang mana dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu mer..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/11-individu-termasuk-tiga-beradik-ditahan-dadah-bernilai-le
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 01:27 MYT

Kuala Lumpur, 19 Jun - Polis menahan 11 individu, termasuk tiga beradik, yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Cheras dan merampas heroin bernilai RM21,110 dalam dua tangkapan sejak Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata suspek, termasuk dua wanita berumur 17 dan 55 tahun, ditahan di sebuah rumah di Lorong Ikan Emas dan sebuah kedai besi buruk di Jalan Chan Sow Lin, hasil maklumat orang ramai.

"Dalam serbuan pertama pukul 4 petang Isnin lepas, polis menahan seorang lelaki di Lorong Ikan Emas dan merampas tiga paket plastik lut sinar disyaki berisi heroin seberat 5.15 gram.

"Susulan penahanan itu, polis dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran sebelum menahan empat lagi rakannya, dua lelaki dan dua wanita, yang mana dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu merupakan adik-beradik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan polis di rumah itu menemui sebuah kotak mengandungi 170 paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 277 gram.

"Ujian saringan awal mendapati tiga suspek lelaki positif dadah. Anggaran berat bagi rampasan dadah kes pertama ini adalah 282.15 gram, dan dianggarkan bernilai RM18,810," katanya.

Mohan Singh berkata suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata sehari selepas itu, polis menahan enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar dan Serani, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan pertama, di kawasan kedai besi buruk di Chan Sow Lin pada 12.15 pagi.

"Heroin seberat 34.89 gram bernilai RM2,300 dirampas daripada kesemua suspek yang juga positif dadah jenis Opiat," katanya.

Suspek bagi tangkapan ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Sumber : BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 17 Jun 2014 5.44 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM