10 Lelaki Terbabit Kes Pecah Kereta Dan Samun Dicekup
George
Town, 2 Mei - Polis menahan 10 lelaki berusia 16 hingga 27 tahun
dipercayai terbabit kes pecah kereta dan samun bersenjata dalam dua
tangkapan berasingan pada Jumaat dan Isnin lepas.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kes pertama,
sepasukan anggota yang sedang melakukan Ops Cegah Jenayah di medan
selera, Tanjong Bungah telah menahan tiga lelaki disyaki cuba memecah kereta di kawasan berkenaan.
Beliau
berkata hasil soal siasat polis, suspek mengaku terlibat dalam 15 kes
pecah kereta di sekitar daerah ini sejak Januari lepas membabitkan
anggaran kerugian RM50,000 dan telah menjual barangan curi itu kepada
seorang peniaga di pusat bandar.
"Susulan
maklumat itu, kita telah menahan seorang lagi lelaki berusia 44 tahun
dan telah merampas 41 telefon bimbit, 10 komputer riba dan pelbagai
gajet elektronik di premis niaganya dan hasil saringan air kencing, dia
juga didapati positif ganja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Gan
berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau
denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau
meminta semua mangsa yang telah membuat laporan berikutan kes kecurian
itu datang ke Balai Polis Pulau Tanjung Tokong untuk mengecam barang
kepunyaan mereka.
Dalam
kes berasingan, polis menahan enam lelaki berusia 18 hingga 27 tahun
dipercayai telah menyamun sebuah kedai serbaneka di Sungai Dua, di sini
dengan bersenjatakan parang dan pistol tiruan awal pagi Ahad lepas.
Katanya
hasil risikan dan maklumat awam, polis memberkas kesemua suspek sehari
selepas kejadian di sekitar Bukit Jambul dan Bayan Lepas.
Siasatan awal mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah melibatkan pelbagai jenayah samun dan dadah.
"Kes
disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan sebatan," katanya. - BERNAMA