Ydh Dato Salleh Mat Rashid Naik Pangkat Dcp
Cheras- 15 Mac 2009. YDH Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan, Ketua Polis Negara berkata, kenaikkan pangkat pemangku Deputi Komissioner Polis (DCP) kepada YDH Dato' Salleh Mat Rashid merupakan satu tanda pengiktirafan dan penghargaan PDRM di atas usaha dan komitmen yang bersungguh-sungguh di dalam setiap penugasan atau tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau. YDH Dato' Salleh telah mempamirkan prestasi cemerlang serta kualiti kerja yang tinggi dan berjaya meyakinkan pegawai atasannya bahawa beliau layak dan wajar dinaikkan pangkat yang lebih tinggi dengan keikhlasan dan kesungguhan bekerja serta kesetian kepada pasukan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat DCP kepada YDH Dato' Saleh Mat Rashid, Timbalan Pengarah (PGA / Pengurusan Sempadan / Kawalan Keselamatan LTAB) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri / Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Majlis bersejarah itu telah berlangsung pada 15 Mac 2009 di Dataran Kawat, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras .
Menurut YDH Tan Sri Musa lagi, jawatan Timbalan Pengarah (PGA /Pengurusan Sempadan/ Keselamatan LTAB) merupakan jawatan baru yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) . Ini adalah berasaskan kepada perkembangan tugas kawalan keselamatan selaras dengan keputusan Kabinet Malaysia pada April 2008 yang mahu PDRM mengawal pintu masuk negara.
Antara lain justifikasi tugas YDH DCP Dato' Salleh Mat Rashid ialah mengetuai Pasukan Gerakan Am yang mengandungi lima briged yang meliputi pengoperasian dan perancang strategik. Berperanan sebagai 'Operational Command' dalam 'Airport Emergency Plan (AEP)' semasa berlakunya krisis ancaman keselamatan terhadap lapangan terbang antarabangsa Malaysia.
Beliau juga dipertanggungjawabkan menentukan dasar keselamatan sempadan, perairan dan pintu masuk ekoran pengambilalihan sebagai agensi peneraju bersama-sama lain agensi penguatkuasaan. Selain itu, beliau juga membuat dasar dan pelan tindakan strategi untuk menangani semua bentuk krisis keganasan dan ancaman keselamatan terhadap mana-mana bangunan terminal dan pesawat udara dengan mematuhi National Civil Aviation Security Programme Malaysia.
Hadir sama pada majlis itu ialah YDH CP Dato' Hussin Hj. Ismail, Pengarah Jabatan KDN/KA dan YDH CP Dato' Zulhasnan Najib Baharuddin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan pengarah Jabatan KDN/KA, Komander-komander Briged PGA, Komander Pasukan Polis Marin, Komander Unit Udara Polis, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, ahli keluarga YDH DCP Dato' Salleh Mat Rashid, pegawai, anggota Briged Tengah PGA dan wakil-wakil media.

YDH Tan Sri Musa bin Dato' Hj Hassan memeriksa barisan Kawalan Hormat.

YDH Tan Sri Musa bin Dato' Hj Hassan menyematkan Pangkat Deputi Komissioner Polis (DCP) kepada YDH Dato' Salleh Mat Rashid