Ydh Dato Abdul Razak Rasmi Balai Polis Kubur Panjang Pendang
Pendang, Kedah - 16 Jun 2008. YDH CP Dato ' Abdul Razak Hj. Bokhari Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), merasmikan Balai Polis Kubur Panjang, Pendang, Kedah.
Balai Polis Kubur Panjang mula dibina pada 11 April 2005 dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Disember 2007 dengan perbelanjaan RM5.4 juta. Balai ini mempunyai sebuah bangunan balai 2 tingkat, 2 unit rumah berkembar kelas 'F' dan 10 unit rumah teres 2 tingkat kelas 'G'.
"Adalah menjadi harapan pucuk pimpinan, dengan adanya Balai yang moden dan canggih ini, akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat sekitar".
"Di samping mampu memenuhi kehendak masyarakat, ianya juga akan dapat mempercepatkan respons Polis terhadap suatu laporan dan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan ini".
Demikian kata YDH Dato' Abdul Razak Hj. Bokhari ketika berucap merasmikan Balai Polis Kubur Panjang yang turut dihadiri oleh YDH Dato' Syed Ismail Dato' Hj. Syed Azizan Ketua Polis Kedah, YDH Dato' Asri Yusoff Timbalan Ketua Polis Kedah, Encik Harun Jasin Pegawai Daerah Pendang dan para pemimpin masyarakat dari pelbagai kaum di daerah Pendang.
Menurut YDH Dato' Abdul Razak lagi, pihak polis sentiasa dalam keadaan bersiap sedia membantu masyarakat dengan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
"Masyarakat juga haruslah bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang sesuatu kejadian agar pihak polis akan tiba ke lokasi kejadian dengan pantas", kata YDH Dato' Abdul Razak sambil mengucapkan tahniah kepada DSP Abdul Aziz Ahmad Ketua Polis Daerah Pendang, Kedah kerana berusaha keras memastikan persiapan balai dan majlis perasmian dapat direalisasikan.
Balai Polis Kubur Panjang ini diketuai oleh seorang anggota berpangkat Sarjan Mejar dengan dibantu seramai 11 lagi anggota. Jumlah penduduk di bawah pentadbiran balai ini seramai 14,467 orang yang terdiri dari 60% bangsa Melayu, 30% Siam dan 10% kaum Cina.
"Polis dan masyarakat umpama 'aur dengan tebing', mesti saling bekerjasama dalam usaha pencegahan jenayah, barulah persekitaran akan lebih selamat, aman dan damai. Dalam erti kata lain 'Mencegah Jenayah Adalah Tanggungjawab Bersama". Kata YDH Dato' Abdul Razak dengan harapan polis dan masyarakat setempat sentiasa bekerjasama dan bersepakat memastikan keamanan dan kedamaian yang dikecapi berkekalan.
Pada majlis perasmian itu, masyarakat setempat telah sama-sama bergotong-royong memasak dan menyediakan makanan untuk para hadirin.
Turut
dipertontonkan ialah persembahan Seni Silat Melayu oleh Persatuan Seni
Silat Melayu Negeri Kedah diketua oleh Aziz Abdullah dan persembahan
permainan gendang Kaum Siam dari Kumpulan Gendang Panjang Kampung Paya
Mak Ison diketuai oleh Ireang Huan.

Ketibaan
YDH Dato' Abdul Razak Hj. Bokhari di hadapan Balai Polis Kubur Panjang
disambut oleh YDH Dato' Syed Ismail Dato' Hj. Syed Azizan Ketua Polis
Kedah (kiri) dan Supt Rasdi Ramli Penguasa Perhubungan Awam PDRM (kanan)
dan lain-lain pegawai kanan.

YDH
Dato' Abdul Razak Hj. Bokhari diiringi ASP Fadzly memeriksa Kawalan
Kehormatan di Majlis Perasmian Balai Polis Kubur Panjang, Pendang,
Kedah.

Persembahan Seni Silat Melayu oleh Persatuan Seni Silat Melayu Negeri Kedah diketuai oleh Aziz Abdullah dipertontonkan kepada hadirin yang hadir.

YDH Dato'
Abdul Razak Hj. Bokhari menandatangani 'plaq' perasmian dengan
disaksikan oleh YDH Dato' Syed Ismail Dato' Hj. Syed Azizan Ketua Polis
Kedah, YDH Dato' Asri Yusof Timbalan Ketua Polis Kedah dan Encik Harun
Jasin Pegawai Daerah Pendang Kedah.

Mesra
..... YDH Dato' Abdul Razak bersama penduduk setempat secara
bergotong-royong memasak 'gulai kawah' untuk dihidangkan kepada para
hadirin.

Gambar
kenangan di hadapan Bangunan Balai Polis Kubur Panjang ..... YDH Dato'
Abdul Razak bergambar kenangan bersama pemimpin tertinggi PDRM Kontinjen
Kedah dan anggota Balai Polis Kubur Panjang, Pendang, Kedah selepas
majlis perasmian.