
Article
Yang Di Pertuan Agong Dan Raja Permaisuri Agong Berkenan Menziarahi Keluarga Allahyarham Sarjan Suhaimi
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah dan turut berdukacita dengan pemergian Allahyarham serta berharap agar seluruh ahli keluarga tabah mengha...
Seri Kembangan, 15 Januari 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menziarahi keluarga anggota pengiring bermotosikal Baginda yang telah kembali ke Rahmatullah semalam, Allahyarham Sarjan Suhaimi Zakaria di kediamannya, di sini, hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah dan turut berdukacita dengan pemergian Allahyarham serta berharap agar seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan kehilangan insan tersayang.
Seri Paduka Baginda berdua juga amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham Sarjan Suhaimi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sepanjang bertugas di Istana Negara sejak tahun 2019.
Turut mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ialah Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamzah Zainudin bersama Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz.
Allahyarham Sarjan Suhaimi meninggal dunia akibat cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa bertugas di ibu negara semalam.
Seluruh warga PDRM menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua menziarahi dan menyantuni keluarga Allahyarham Sarjan Suhaimi Zakaria. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.
Sumber: Istana Negara





