Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Warga Iran Sorok Syabu Dalam Bengkung

Published: 13 Jun 2014 3.32 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
polis menemui kain yang dibalut pada perutnya dengan di dalamnya mengandungi sebungkus peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 2.2 kilogram..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/warga-iran-sorok-syabu-dalam-bengkung
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 05:00 MYT

SHAH ALAM 15 Mac 2010 - Setelah taktik menyorok di dalam bagasi atau menelan dadah berjaya dikesan pihak berkuasa negara ini, pengedar dari Iran kini menukar taktik dengan memakai bengkung yang di dalamnya mengandungi syabu untuk menyeludup dadah.

Taktik terbaru itu bagaimanapun berjaya dihidu apabila seorang lelaki Iran berusia 41 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba dari Dubai pada pukul 10.30 malam, 11 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek ditahan setelah dalam keadaan mencurigakan terutama di bahagian perutnya yang buncit walaupun bertubuh kecil.

Tambahnya, setelah diperiksa, polis menemui kain yang dibalut pada perutnya dengan di dalamnya mengandungi sebungkus peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 2.2 kilogram (kg).

"Nilai dadah itu dianggarkan RM550,000 dan suspek ditahan reman seminggu sejak tarikh ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Nordi memberitahu, dalam kejayaan lain, pihaknya turut menahan seorang lagi rakyat Iran dalam serbuan di sebuah unit apartmen di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, pada hari sama.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menemui lapan botol lutsinar berisi syabu seberat 170 gram yang bernilai RM51,000.

"Suspek telah tinggal di negara ini sejak lima tahun lalu dan bekerja dengan menjual permaidani," ujar beliau.

Beliau berkata, dalam kejayaan terbaru, dua suspek tempatan ditahan dan polis berjaya merampas sejumlah Eramin 5 dan ketamin bernilai RM400,000, dalam serbuan di Petaling Jaya, semalam.

Katanya, dalam serbuan pertama pada pukul 11.10 pagi, polis menahan seorang suspek lelaki berusia 35 tahun dan merampas 72 peket lutsinar berisi ketamin seberat RM1.2 kg.

Katanya lagi, selain itu, 7,000 biji pil Eramin 5 dengan berat 1.8 kg dan wang tunai RM67,000 juga dirampas, dipercayai hasil daripada penjualan dadah.

"Dadah ketamin itu bernilai RM12,500, manakala kesemua pil Eramin 5 berkenaan berharga RM140,000," katanya.

Nordin berkata, susulan itu, polis merampas 10,000 biji pil Eramin 5 dan ketamin seberat 2 kg. di rumah seorang lagi lelaki berusia 40 tahun di Taman Muda pada pukul 3 petang, juga pada hari sama.

Kesemua pil Eramin 5 itu, tambahnya, bernilai RM200,000 serta ketamin pula bernilai 24,000 dan kedua-dua suspek ditahan seminggu untuk membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya kedua-dua suspek yang positif dadah itu ada hubung kait antara satu sama lain," katanya.

ArticlePublished 13 Jun 2014 3.32 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM