Warga Emas Dan Dua Orang Penganggur Ditangkap Mengedar Dan Salah Guna Dadah
LABUAN, 14 April - Polis menahan seorang lelaki berumur 59 tahun dan dua penganggur kerana disyaki mengedar dan menyalah guna dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Saguking di sini semalam.
Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman dalam kenyataan hari ini berkata, sepasukan polis narkotik menyerbu rumah itu dan menangkap suspek dalam operasi antidadah pada pukul 11.30 malam tadi.
Beliau berkata dalam pemeriksaan awal ke atas warga emas terbabit polis menemui beg dalam di poketnya yang mengandungi 14 bungkusan plastik mengandungi bahan berupa kristal dipercayai syabu seberat 6.06 gram bernilai RM1,000.
Katanya, warga emas itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine sama seperti dua lagi suspek yang berumur 26 dan 29 tahun.
Adzhar berkata semua suspek yang merupakan warga Filipina tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kini ditahan di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu seorang operator kren terbunuh apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Patau-Patau pada pukul 7.30 malam tadi.
Mangsa berasal dari Tawau sedang dalam perjalanan ke tempat kerja semasa kejadian.- BERNAMA