Warga Argentina Diberkas Selepas Larikan Wang Atm
Maran,
9 Okt - Dua lelaki warga Argentina yang melarikan wang berjumlah
RM174,000 dari sebuah mesin pengeluar wang automatik (ATM) di sebuah
bank di Maran, kecundang apabila salah seorang daripada mereka berjaya
ditahan polis di Plaza Tol Maran dekat sini, awal hari ini.
Polis turut berjaya menemui semula wang berkenaan di dalam kereta yang dinaiki suspek.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, SAC Mohd
Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 55 itu ditahan sepasukan polis yang
sedang melakukan Ops Cantas di sekitar bandar itu pada jam 4.30 pagi.
"Manakala
rakan suspek berusia lingkungan 45 hingga 55 tahun itu berjaya
melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran plaza tol
berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau
berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang melihat dua
suspek terbabit sedang memecahkan sebuah mesin ATM kira-kira 4.15 pagi.
"Sepasukan
anggota polis yang sedang melakukan Ops Cantas kemudian telah diarahkan
untuk mengejar suspek dan berjaya menahan mereka di Plaza Tol Maran.
"Salah
seorang suspek berjaya melarikan diri manakala seorang lagi yang
memandu kereta jenis Proton Persona tersebut berjaya ditahan," katanya.
Beliau
berkata hasil pemeriksaan, polis menemui lima peti yang di dalamnya
terdapat wang tunai berjumlah RM174,000 yang dipercayai dicuri dari
mesin ATM di bank berkenaan.
"Kami
juga menemui beberapa peralatan antaranya pencungkil, dua tangki gas
dan peralatan kimpalan yang dipercayai digunakan untuk membuka mesin ATM
tersebut," katanya.
Beliau
berkata siasatan awal mendapati, suspek yang ditahan itu telah memasuki
negara ini pada 12 Ogos lepas dan berasal dari Tucuman, Argentina.
"Kami
percaya dengan penangkapan suspek itu dapat menyelesaikan beberapa kes
kecurian wang di mesin ATM terutamanya di sekitar Lembah Klang,"
katanya.
Zakaria berkata pihak polis kini giat memburu seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri itu.
"Kami
percaya suspek itu masih berada di dalam kawasan ladang kelapa sawit
tersebut. Polis daerah lain juga telah diarah melakukan sekatan jalan
raya bagi mengesan suspek," katanya.
Katanya,
suspek yang diberkas itu pula kini ditahan reman selama tujuh hari
bermula hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun
Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika sabit kesalahan boleh
dihukum penjara tujuh tahun atau denda.
Sumber : BERNAMA