Warga Afrika Ditahan Miliki 21 Kilogram Ganja
Kuala Lumpur, 10 Mei- Seorang lelaki Afrika ditahan kerana disyaki menyimpan ganja di kediamannya di Apartment Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata suspek yang dikenali sebagai Iwu Christopher Chinedu, 30, seorang pelajar universiti berasal dari Nigeria.
"Dalam serbuan kira-kira 9.45 malam itu, polis menemui 21 bungkusan plastik yang mengandungi daun kering yang disyaki ganja yang diletakkan dalam mesin basuh.
"Polis turut menjumpai sebuah beg kain yang mengandungi 81 bungkusan plastik yang mengandungi daun kering disyaki ganja seberat 1.112 kilogram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu ialah 21.691 kilogram bernilai RM60,000 dan lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.- BERNAMA