
Artikel
Waragainstdrugs Posting Pilihan Sindiket Tumpas Dadah Rm1 47 Juta Dirampas
Georgetown, 14 Julai 2021 - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM1.47 juta susulan penahanan empat individu...
Georgetown, 14 Julai 2021 - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM1.47 juta susulan penahanan empat individu termasuk pasangan kekasih dalam serbuan di Perai dan Simpang Ampat, di sini.
Serbuan Isnin lalu dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato' Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan pertama dilakukan terhadap dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun di hadapan rumah teres satu tingkat di Chai Leng Park dan merampas 27 bungkusan dadah jenis Syabu seberat 29.1 kilogram (kg).
Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu membawa kepada penahanan wanita berusia 25 tahun yang juga kekasih suspek utama berusia 42 tahun dan merampas wang tunai berjumlah RM760,000 serta barangan kemas dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah.
"Dengan berpandukan maklumat daripada dua tangkapan, polis memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard di kawasan Seberang Jaya, sebelum menemukan sepucuk pistol, satu kelopak dan 13 butir peluru.
"Turut dirampas ialah dadah jenis Heroin seberat 8.6 kg, Heroin Base (4.3 kg) dan Kafein (52.1 kg).
"Susulan itu polis membuat serbuan di Simpang Ampat, daerah Seberang Perai Selatan dan menahan seorang lagi ahli sindiket berusia 33 tahun," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.
Dato’ Mohd Shuhaily berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada peniaga makanan, penternak ayam dan dua penganggur.
Katanya, masing-masing mempunyai rekod berkaitan dadah, jenayah dan jenayah komersil manakala ujian air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah.
"Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan membabitkan jumlah lebih RM2.73 juta dan sindiket dipercayai dijalankan pada awal 2021 bagi kegunaan pasaran tempatan.
"Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 404,500 penagih," katanya lagi.
Antara barangan lain yang turut disita ialah sembilan kenderaan termasuk enam kereta.
Menurut Dato’ Mohd Shuhaily, tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Julai ini, manakala suspek keempat direman lima hari sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.
Sumber: Berita Harian Online dan PDRM Pulau Pinang