Article
Waragainstdrugs Posting Pilihan Polis Selangor Tangkap 17 Individu Tumpaskan Dua Sindiket Pengedaran Dadah Methamphetamine Bernilai Rm3 89 Juta
Shah Alam, 17 Ogos 2021 - Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah disyaki jenis Methamphetamine dengan penahanan 17 individu termasuk tiga wan...
Shah Alam, 17 Ogos 2021 - Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah disyaki jenis Methamphetamine dengan penahanan 17 individu termasuk tiga wanita di sekitar Gombak dan Ampang, dekat sini serta Pulau Pinang, awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, CP Dato' Arjunaidi Mohamed berkata, Methamphetamine yang dirampas hasil penahanan kesemua individu berusia 26 hingga 65 tahun itu bernilai RM3.89 juta dengan berat keseluruhan 108.09 kilogram (kg).
Beliau berkata pada 3 petang, 6 Ogos lepas, pihaknya menahan tiga lelaki dalam serbuan di kawasan perumahan di sekitar Batu Caves sekali gus merampas 97 bungkusan hijau berisi dadah disyaki Methamphetamine dianggar seberat 100.74 kg.
“Kita turut menahan empat lagi lelaki di empat lokasi lain di sekitar Gombak, Selayang dan Cheras untuk tindakan lanjut dan polis turut menyita aset mereka antaranya wang tunai RM114,750, empat akaun berjumlah RM93,670 dan empat kenderaan dengan nilai sitaan bagi kumpulan ini sebanyak RM448,420,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.
Dato' Arjunaidi berkata pada 8 Ogos pula, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki dan dua wanita pada 11.15 pagi susulan penahanan dua kenderaan di lot parkir kereta di sebuah pasar raya di Ampang.
“Hasil pemeriksaan merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi Methamphetamine seberat 7.35 kg dan susulan itu lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan di enam lagi lokasi berlainan sekitar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Dato' Arjunaidi, antara aset yang disita daripada kesemua individu itu adalah tujuh kenderaan berjenama bernilai RM495,000, barang kemas bernilai RM37,570 dan wang dalam 20 akaun berjumlah RM346,180 dengan nilai sitaan keseluruhan sebanyak RM976,720.
Beliau berkata kesemua individu itu sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
