
Article
Waragainstdrugs Posting Pilihan Polis Bongkar Sindiket Dadah Rm5 2 Juta Di Pulau Pinang
Georgetown, 15 Mac 2021 - Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM5.2 juta, berikutan penahanan lelaki berusia 54 tahun di B...
Georgetown, 15 Mac 2021 - Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai RM5.2 juta, berikutan penahanan lelaki berusia 54 tahun di Batu Ferringghi, di sini.
Penahanan suspek pada jam 6.30 petang, 12 Mac lalu itu membabitkan sepasukan anggota dari Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang, CP Dato’ Sahabudin Abd Manan, berkata terdahulu polis mengejar lelaki yang memandu kenderaan jenis Mercedez Benz di Jalan Batu Ferringghi, selepas cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan.
Katanya, pemeriksaan pada bahagian but belakang kereta terbabit menemukan sebanyak 15 bungkusan hablur kristal dipercayai dadah jenis Syabu, sepucuk pistol dengan kelopak berisi 14 butir peluru dan 39 peluru hidup dalam sebuah kotak hitam.
Mengulas lanjut Dato’ Sahabudin berkata, keseluruhan dadah yang dirampas ialah 144.7 kg bernilai RM5.2 juta bagi pasaran negara jiran.
Katanya, dipercayai dadah berkenaan akan dibawa menerusi laluan laut kira-kira 25 hingga 30 batu nautika di perairan Pulau Pinang sebelum melakukan pertukaran dari bot ke bot,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Sumber: PDRM Pulau Pinang dan Berita Harian