
Artikel
Waragainstdrugs Artikel Pilihan Anggota Polis Cedera Dilanggar Pengedar Dadah
Sepang, 16 Mei 2021 - Seorang anggota polis cedera akibat dilanggar kereta yang dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Taman Murni di sini pada Sabtu.
Sepang, 16 Mei 2021 - Seorang anggota polis cedera akibat dilanggar kereta yang dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Taman Murni di sini pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Tuan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sepasukan anggota polis telah mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.30 petang.
"Ketika anggota terbabit hendak menghentikan kereta itu, suspek cuba melarikan diri dengan mengundurkan kereta berkenaan dengan laju serta melanggar dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tuan Wan Kamarul Azran berkata, suspek turut melanggar kereta anggota polis terbabit sehingga menyebabkan seorang anggota polis tercampak dari kereta yang dinaiki. "Anggota polis itu mengalami cedera ringan iaitu kesan lebam pada kepala dan kaki," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia 20 hingga 29 tahun apabila kereta yang mereka naiki tersekat dan berhenti selepas berlanggar dengan kenderaan lain.
Sumber: Astro Awani