Wanita Georgia Ditahan Di Kota Kinabalu Selepas Polis Temui
KOTA
KINABALU, 26 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita Georgia
selepas menemui dadah bernilai RM1.76 juta dalam satu serbuan di sebuah
hotel di sini, tengah malam Isnin.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Supt Abd Rahim Dolmat berkata wanita
berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.50 tengah malam kerana
disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.5 kg yang disorok dalam
empat bingkai gambar yang dijumpai dalam beg pakaiannya.
Beliau
berkata tiga daripada bingkai gambar itu masing-masing menyimpan lapan
paket plastik berisi dadah berkenaan, manakala satu bingkai gambar lagi
mempunyai enam paket.
Menurutnya
polis mendapat maklumat mengenai wanita ini ekoran penahanan seorang
lagi wanita warga Georgia berumur 37 di Pulau Pinang semalam, selepas
polis menemui lebih 5kg syabu yang disorok dalam bingkai gambar dalam
begnya.
"Polis
tidak menolak kemungkinan wanita yang ditahan di sini malam tadi
terlibat dengan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya
pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah itu di sini Selasa.
Abd Rahim berkata ia merupakan kunjungan pertama wanita itu ke Malaysia, dengan menggunakan visa lawatan.
Beliau
berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan
kesalahan.