
Artikel
Walkabout Kpn Timbalan Kpn Tinjau Daerah Klang Dan Santuni Masyarakat Setempat
Klang, 4 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengadakan "wal...
Klang, 4 Februari 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan KPN, DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengadakan "walkabout" bagi meninjau persekitaran dan seterusnya menyantuni penduduk setempat di pasar pagi dekat Pandamaran, di sini.
Menerusi "walkabout" tersebut, Tan Sri Razarudin sempat meluangkan masa bertanya khabar bagi mendapatkan maklum balas daripada masyarakat sekitar tentang tahap keselamatan serta ketenteraman awam di dalam daerah Klang di samping mengedarkan beg cenderahati sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tiba.
Dalam sidang medianya yang diadakan seusai "walkabout" tadi, Tan Sri Razarudin menolak tanggapan negatif sesetengah pihak yang mentafsirkan bandar Klang sebagai lokasi panas yang mencatatkan rekod jenayah tertinggi berbanding lain-lain daerah dalam negara.
Menurut beliau lagi, hasil tinjauan mendapati bandar tersebut bersih dan aman serta tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang menjadikan beberapa kes jenayah sebagai indeks ukuran secara keseluruhannya.
Seusai beramah mesra dengan masyarakat setempat, Tan Sri Razarudin bersama Dato' Sri Ayob Khan turut melapangkan masa bertemu warga Pasukan dengan melawat Balai Polis Pandamaran yang diketuai oleh ketua polis balainya, ASP Ng Wei Tiam.
Dalam lawatan ke balai tersebut, Tan Sri Razarudin telah ditaklimatkan mengenai keadaan semasa premis serta berpeluang meninjau kawasan persekitaran untuk bertemu dengan anggota-anggota yang bertugas.
Hadir sama, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, Timbalan KP Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong.