Artikel
Video Pilihan Anggota Polis Redah Air 0 8 Meter Empat Jam Sekali Periksa Paras Air
Tumpat, 23 Disember 2020 - Anggota dari Balai Polis Kuala Jambu di sini terpaksa meredah air sedalam 0.8 meter setiap kali pergi memeriksa bacaan paras air aki...
Tumpat, 23 Disember 2020 - Anggota dari Balai Polis Kuala Jambu di sini terpaksa meredah air sedalam 0.8 meter setiap kali pergi memeriksa bacaan paras air akibat limpahan Sungai Golok.
Tindakan itu dibuat setiap empat jam sekali sejak berlaku limpahan air dari Sungai Golok bagi mendapatkan bacaan tepat di Stesen Paras Air Kuala Jambu yang jaraknya kira-kira 50 meter daripada balai terbabit.
Ketua Balai, Sarjan Mejar Nik Mohd Nazri Nik Jaafar, berkata air mulai melimpah masuk ke perkarangan balai sejak petang Sabtu lalu dan menjelang malam berlaku peningkatan mendadak.
"Anggota akan secara bergilir akan meredah air hingga paras 0.8 meter di luar perkarangan balai untuk ke stesen paras air untuk mencatat bacaan tepat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, kaunter aduan berpindah ke Bilik Maklumat Balai iaitu bangunan bersebelahan yang sedikit tinggi dan selamat daripada dinaiki air.
"Secara keseluruhan 11 anggota di balai ini termasuk saya dan setengah daripada mereka yang menetap di berek akan turut berlindung di Bilik Maklumat Balai kerana berek juga dimasuki air," katanya.
Hasil tinjauan yang dilakukan di Balai Polis Kuala Jambu hari ini mendapati, paras air sudah sedikit menurun dan di luar perkarangan kira-kira 0.5 meter bagaimanapun bacaan untuk Sungai Golok masih di paras amaran.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, DSP Mohd Razi Rosli berkata, selain Balai Polis Kuala Jambu, Balai Polis Simpangan turut menerima kesan setiap kali banjir melanda di daerah ini.
Beliau berkata, berbanding Balai Polis Simpangan, Balai Polis Kuala Jambu lebih terjejas kerana berdepan dengan situasi banjir termenung yang memakan masa lebih seminggu untuk surut sepenuhnya," katanya.
Sumber:
Berita Harian Online
#23122020
https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/videos/3867270679972243/
https://www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia/videos/3867270679972243/