Usaha Ceroboh Perairan Sabah Dipatah Dua Minggu Lepas Kpn
Kuala
Lumpur, 10 Jan - Pasukan keselamatan negara mematahkan cubaan pihak
asing menceroboh masuk perairan Sabah dua minggu lepas, kata Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau
berkata ini hasil tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
"Walaupun
kita tahu ada percubaan (menceroboh masuk) yang dilakukan pihak musuh
dua minggu lepas, tapi Alhamdulillah kita berjaya mematahkannya,"
katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Perairan
Sabah sebelum ini menyaksikan peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad
Datu pada Februari tahun lepas yang mengorbankan nyawa 10 anggota
keselamatan, iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera.
"Insiden
di Pulau Pom-Pom, Semporna, Sabah turut menjadi iktibar kepada pasukan
keselamatan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Zon Keselamatan
Pantai Timur Sabah (Esszone)," katanya.
Khalid
merujuk insiden yang berlaku 15 Nov lepas, yang mana seorang pelancong
lelaki warga Taiwan berusia 57 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan
pada badan di sebuah pusat peranginan di pulau itu.
Rakan
wanitanya yang berusia 58 tahun pula diculik sekumpulan lelaki
bersenjata sebelum diselamatkan pada 20 Dis lepas oleh pihak keselamatan
Filipina.
Dalam
pada itu, Khalid berkata Operasi Gasak di Kawasan Keselamatan Khas
Pantai Timur Sabah (Esscom), dengan penyertaan pasukan Operasi Cantas
Khas PDRM, akan dipertingkat bagi menghadapi ancaman pencerobohan.
Beliau
berkata segala pemantauan dan kawalan keselamatan di Sabah akan terus
dilapor kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memudahkan pelan
tindakan dirangka bagi menangani kes tertentu.
Sumber : BERNAMA