Upp Tahan 95 Warga Myanmar Dan Bangladesh Di Kawasan Berbuki
Kangar,
26 Nov - Sebanyak 95 warga Myanmar dan Bangladesh termasuk 26
kanak-kanak yang memasuki negara ini secara haram ditahan oleh Unit
Pencegah Penyeludupan (UPP) di kawasan Sungai Batu Pahat dekat sini awal
hari ini.
Komander
UPP Perlis DSP Zakaria Abdul Rahman berkata mereka ditahan kira-kira
pukul 2.30 pagi oleh pasukan UPP kawasan Kuala Perlis di kawasan
berbukit itu hasil maklumat awam.
Bercakap
pada sidang media di Kem UPP Kuala Perlis hari ini, beliau berkata
mereka yang ditahan ialah 81 warga Myanmar termasuk 26 kanak-kanak serta
14 warga Bangladesh.
Katanya
mereka yang berumur lingkungan tiga hingga 40 tahun ditemui dalam
keadaan keletihan selepas berjalan kaki dari Thailand melalui jalan
berbukit sebelum tiba di Sungai Batu Pahat.
Siasatan
mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen
perjalanan yang sah dan 81 warga Myanmar yang ditahan terdiri daripada
45 lelaki, 10 perempuan, 14 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak
perempuan. Kesemua 14 warga Bangladesh yang ditahan adalah lelaki.
Mereka
yang ditahan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk disiasat
mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.
Zakaria
percaya masih banyak lagi warga asing terutama Myanmar sedang bersiap
sedia untuk memasuki negara ini dari Thailand untuk membina kehidupan
baharu.
Bagaimanapun,
menurutnya, pihak berkuasa termasuk UPP sentiasa memastikan sempadan
negara ini terkawal daripada sebarang bentuk pencerobohan dan
penyeludupan.
Katanya
UPP menubuhkan pasukan rondaan khas bagi mengawasi keadaan sempadan dan
berharap orang ramai akan terus memberi kerjasama kepada pasukan itu
bagi mengawal sebarang bentuk kegiatan yang merugikan negara.
Sumber : BERNAMA