Upp Kedah Patahkan Cubaan Seludup 96 56 Kg Ganja Bernilai Rm
Bukit Kayu Hitam, 21 Julai - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah mematahkan cubaan menyeludup masuk ganja dari Thailand seberat 96.56 kilogram bernilai RM245,000 di sini Rabu lepas.
Komander
UPP Kedah Abdul Latif Abd Rahman berkata dadah ditemui dalam sebuah
Proton Wira berwarna putih milik suspek berusia 19 tahun kira-kira pukul
9 malam hari tersebut, ketika anggotanya melakukan pemeriksaan di
kilometer 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Thailand.
Katanya,
curiga dengan suspek yang baru saja melepasi pintu sempadan
Malaysia-Thailand, anggotanya meminta kad pengenalan sebelum suspek
bertindak melarikan diri dan meninggalkan keretanya dan beberapa dokumen
pengenalan diri.
"Hasil
pemeriksaan lanjut dalam kereta terdapat 98 ketulan dipercayai ganja
diletakkan di bawah tempat duduk belakang dan dalam kotak speaker yang
diubahsuai di but," katanya pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Kayu
Hitam di sini hari ini.
Abdul
Latif berkata suspek yang tiada rekod jenayah lampau sebelum ini
dipercayai mengambil upah membawa masuk dadah, dikatakan ke Thailand
pada 7 Julai lepas dan masuk semula ke negara pada Rabu.
Beliau
berkata kes kemudiannya diserahkan kepada bahagian Jabatan Siasatan
Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk
tindakan dan usaha mencari suspek giat dijalankan.
Katanya dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.
Bagi membantu siasatan, polis kini sedang mengesan lelaki dikenali sebagai Norizdhan Faridzuan Yazet, 19, dari Pendang.
Orang
ramai yang mempunyai maklumat mengenai Norizdhan boleh menghubungi IPD
Kubang Pasu di talian 04-9176999/2222 atau mana-mana balai polis
terdekat.
Dalam
perkembangan lain, Abdul Latif berkata pihaknya turut merampas pelbagai
jenis pakaian tiruan pelbagai jenama dan kain batik Indonesia bernilai
ribuan ringgit di kilometer 35 Jalan Kota Putra, arah Padang Sanai
kira-kira pukul 1.30 petang Jumaat lepas.
Beliau
berkata pihaknya menahan dua lori, masing-masing dipandu lelaki berusia
29 dan 42 tahun, yang membawa masuk pelbagai jenis pakaian dan kain
batik secara tidak sah ketika waktu solat Jumaat.
"Ini
taktik mereka guna untuk kaburi mata pihak berkuasa. Masuk barangan
pada waktu solat Jumaat dan turut campurkan barangan yang telah dibayar
cukai dengan barangan larangan," katanya.
Katanya,
kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang
membawa hukuman denda tidak kurang dari 10 kali ganda dan tidak lebih 20
kali ganda amaun duti Kastam atau penjara tidak melebihi lima tahun
atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber : BERNAMA