Article
Update Video Tular Mangsa Dera Tampil Beri Keterangan
Manjung, 7 November 2020 - Wanita yang menjadi mangsa pukul oleh dua individu yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, hadir memberi keterangan kepada polis...
Manjung, 7 November 2020 - Wanita yang menjadi mangsa pukul oleh dua individu yang tular di media sosial sejak Rabu lalu, hadir memberi keterangan kepada polis, semalam.
Wanita tempatan berusia 25 tahun itu hadir ke Balai Polis Seri Manjung pada jam 2.47 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tuan Nor Omar Sappi berkata, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku pada April lalu di sebuah rumah di Hutan Melintang.
Menurutnya, suspek lelaki dan remaja perempuan itu adalah pasangan suami isteri, manakala mangsa pula adalah sepupu kepada lelaki itu dan mereka tinggal bersama sejak dua tahun lalu.
"Berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu didakwa berpunca kerana dia menggunakan wang yang diberikan suspek tanpa kebenaran.
"Suspek dikatakan menyuruh mangsa membeli barang tetapi mangsa menggunakan baki wang itu tanpa kebenaran untuk membeli barangnya yang menyebabkan suspek marah," katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata, selepas kejadian berlaku mangsa sudah tidak tinggal bersama suami isteri itu dan wanita itu kini berkerja di Sitiawan.
"Mangsa juga mengakui yang dia tidak tahu di mana kedua-dua suspek itu berada.
"Siasatan lanjut kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kerana kejadian itu berlaku di kawasan tersebut," katanya.
Sumber: Harian Metro
