Bukit Aman, 25 Januari 2011- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), YDH CP Datuk Noor Rashid Bin Ibrahim telah mengadakan satu sidang akhbar berkenaan kejayaan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam membanteras sindiket penyeludupan dadah di sekitar Lembah Klang.
Berucap semasa sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bilik Mesyuarat Tingkat 3, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, beliau menyatakan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah berjaya membuat beberapa tangkapan ke atas warganegara Iran hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan.
Ekoran daripada maklumat yang diperolehi, beliau memaklumkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah melancarkan beberapa siri serbuan dan tangkapan ke atas beberapa orang ahli sindiket dadah warga Iran yang bergiat aktif menyeludup dadah jenis Methamphetamine (syabu) ke dalam negara.
Hasil operasi ini , seramai 13 lelaki dan 2 wanita yang berumur di antara 20-40 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan serta sejumlah 78.7 kg dadah jenis Methamphetamine bernilai RM 15.7 juta telah berjaya dirampas.
Tangkapan pertama bermula pada 18 Jun 2011 di mana seorang lelaki warga Iran telah ditangkap di Ampang dengan rampasan 13 kg dadah jenis Methamphetamine serta berjaya membongkar sebuah makmal mini di sebuah kondominium di kawasan Ampang, kemudian tangkapan seterusnya pada hari yang sama dengan melibatkan 3 lelaki dan seorang wanita warga Iran di bawah Sek. 3(1) ADB (LLPK) 1985, kumpulan ini merupakan kumpulan yang aktif membawa kurier-kurier dadah ke dalam negara melalui lapangan terbang.
Kes ketiga juga telah berjaya menangkap 2 lelaki Iran yang cuba menyeludup masuk dadah ke dalam negara dengan cara menelan, kedua-duanya dibawa ke hospital dan telah mengeluarkan sebanyak 174 ketulan kapsul berisi dadah syabu seberat 1.5 kg.
Pada hari yang sama juga, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, telah menangkap 3 lelaki dan 1 perempuan warga Iran di bawah rumah di Pandan Indah, Ampang. Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas sebanyak 984 gram dadah syabu yang diisi dalam 2 paket plastik dan disembunyikan di dalam sebatang besi.
Hasil daripada keempat-empat tangkapan tersebut telah membawa kepada rampasan terbesar untuk tahun ini. Pada 23 Januari 2011, 2 lelaki Iran telah ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya. Hasil soal siasat telah membawa kepada penemuan sebuah rumah kondo di Sentul, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai stor simpanan dadah.
Sejumlah 33 bungkusan dadah syabu seberat lebih kurang 63.19 kg telah dijumpai dan dirampas. Turut ditangkap adalah 2 lagi lelaki Iran di kawasan rumah tersebut. Kesemua mereka telah ditahan dan disiasat di bawah seksyen 39 (B) ADB 1952 yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan.
Susulan daripada kejayaan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah juga telah merampas dan menyita harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perluchutakan Harta) 1988 dan siri serbuan ini merupakan yang terbesar bagi tahun 2011 iaitu sebanyak 115.9 kg dadah jenis Methamphetamine yang bernilai RM 23 juta.

YDH CP Datuk Noor Rashid Bin Ibrahim ketika sidang media berlangsung....

Antara dadah jenis Methamphetamine yang berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman...

YDH CP Datuk Noor Rashid sedang menunjukkan beberapa hasil rampasan..

Ketika sidang media berlangsung....
Jurufoto : Konst. Raymond Martin
Wartawan : L/Kpl Noor Azima Bt Zakaria & Konst. Norliza Basrah
Penyunting : Insp. Haslina Bt Mohd Nor
ArticlePublished 10 Jun 2014 8.00 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM