Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Tukang Jahit Rugi Rm10 000 Terpedaya Macau Scam

Published: 01 Jul 2018 7.57 AM Updated: 24 Aug 2026 1.15 PM
KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang tukang jahit melayan panggilan lelaki tidak dikenali mengundang padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam, Selasa lalu.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tukang-jahit-rugi-rm10-000-terpedaya-macau-scam
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 05:11 MYT

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang tukang jahit melayan panggilan lelaki tidak dikenali mengundang padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam, Selasa lalu.

Wanita berusia 43 tahun itu kerugian hampir RM10,000 selepas diperdaya lelaki terbabit yang memperkenalkan diri dari Mahkamah Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali, kira-kira jam 9.30 pagi, pada 18 Jun lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai kakitangan dari Mahkamah Alor Setar sebelum memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak hampir RM18,000.

“Lelaki berkenaan memberitahu cukai tertunggak itu dikenal pasti dari syarikat yang dibuka mangsa di Kedah, namun mangsa menafikan ada memiliki syarikat dimaksudkan.

“Lelaki itu seterusnya mengarahkan mangsa menghubungi pegawainya untuk bertanya lebih lanjut berkaitan isu tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa, sekali lagi dihubungi oleh individu berbeza sebelum memaklumkan wanita itu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Idris berkata, individu itu turut memaklumkan kes membabitkan mangsa merupakan satu jenayah berat dan sudah hampir kepada peringkat atasan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Katanya, mangsa seterusnya diarahkan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan sebelum diminta memberikan nombor siri kad bank miliknya dengan alasan untuk membersihkan namanya.

“Tanpa sebarang syak dan bimbang keselamatan dirinya kerana dimaklumkan terlibat dalam jenayah berat, mangsa hanya akur dengan setiap arahan diberikan.

“Bagaimanapun, pada Selasa lalu, kira-kira jam 6 petang, mangsa yang hendak mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) terkejut selepas mendapati baki di dalam akaunnya hanya tinggal tidak sampai RM300.

“Tidak berpuas hati wang simpanannya hampir RM10,000 hilang, mangsa seterusnya ke cawangan bank sama sebelum dimaklumkan ada proses pengeluaran berlaku tanpa pengetahuannya,” katanya.

Idris berkata, menyedari dirinya sudah ditipu oleh lelaki terbabit, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bacaan lanjut di Sinar Harian.

ArticlePublished 01 Jul 2018 7.57 AMUpdated 24 Aug 2026 1.15 PM