Tujuh Suspek Ditahan Dipercayai Terlibat Curi Kenderaan Dan
Johor
Baharu, 11 Mac - Polis percaya berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian
kenderaan dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan
empat lelaki dan tiga wanita di sebuah rumah di Taman Setia Tropika,
Kempas, di sini Rabu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang berumur
18 hingga 39 tahun itu ditahan kira-kira 7.15 malam selepas sepasukan
polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara bertindak hasil
maklumat orang awam.
"Polis
yang memeriksa rumah itu menemui pelbagai barangan termasuk 14 telefon
bimbit, wang tunai RM2,072, dua komputer riba, dua alat pemotong, satu
pistol mainan, parang, penukul diubah suai, tiga televisyen, empat
keping kad pengenalan milik orang lain dan sebuah kereta jenis
Mitsubishi Evo 6.5 yang dilaporkan hilang di Nusajaya, di sini," katanya
kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari
ini.
Mohd
Mokhtar berkata lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah manakala
dua lagi dikehendaki polis atas kesalahan curi, pecah rumah, tipu, dadah
dan samun.
Beliau berkata enam daripada mereka juga didapati positif dadah jenis syabu dan kesemua mereka ditahan reman sehingga Rabu ini.
Dalam
kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya turut menahan empat lelaki di
Jalan Abiad, di sini Isnin lepas, yang dipercayai terlibat dengan 24 kes
pecah kenderaan dan lima kes curi kereta di sekitar bandar raya ini.
Beliau
berkata keempat-empat mereka yang berumur 26 hingga 30 tahun itu
sebelum itu dilihat mencurigakan di dalam sebuah kereta kira-kira 6.40
petang, di Jalan Sutera, Taman Sentosa, di sini.
"Menyedari
kehadiran polis, mereka melarikan diri dengan memandu secara berbahaya
tanpa mempedulikan arahan polis sebelum akhirnya berjaya ditahan di
Jalan Abiad terbabit.
Semakan
polis kemudian mendapati kereta itu adalah kereta yang dilaporkan
hilang di kawasan Larkin, di sini pada 26 Feb lepas," katanya.
Mohd
Mokhtar berkata polis turut merampas enam kunci kereta, peralatan
mencuri kenderaan dan sepasang plat nombor kenderaan palsu daripada
mereka.
Beliau
berkata kesemua mereka yang kini direman sehingga esok mempunyai rekod
jenayah dan dadah dengan kesemuanya juga didapati positif dadah jenis
methamphetamine. - BERNAMA