Tujuh Kaki Judi Dua Penjaga Premis Ditahan Dalam Serbuan Pusat Snuker
Johor Bahru, 25 Mei - Tujuh kaki judi dan dua penjaga premis ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat snuker di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata kesemua mereka yang berumur antara 15 dan 53 tahun itu, ditahan ketika sedang asyik bermain judi.
"Tangkapan ke atas dua penjaga premis yang masing-masing merupakan lelaki dan perempuan dilakukan kerana disyaki menganjurkan perjudian online tanpa lesen hiburan di bawah Enakmen Negeri Johor.
"Manakala, tujuh kaki judi itu yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan itu, ada yang tidak bersekolah dan mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah," kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sejumlah barangan termasuk 22 set komputer, lima batang kayu kiu dan 22 biji bola snuker yang dianggarkan bernilai RM50,000 turut dirampas dalam serbuan itu.
- BERNAMA