
Artikel
Timbalan Kpn Sempurnakan Siri Lawatan Kerja Ke Kontinjen Perlis Dan Kedah
Kangar, 21 Disember 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis...
Kangar, 21 Disember 2021 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Datuk Seri Hj. Mazlan Lazim selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bagi lawatan kerja sehari, pagi tadi.
Beliau dan isteri merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Seri Hjh. Anizah Musa tiba tepat pada jam 8.30 pagi diiringi Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Hal Ehwal Pesara) Bukit Aman, DCP Datuk Sulaiman Salleh.
Ketibaan Timbalan KPN di dataran IPK Perlis disambut oleh Ketua Polis negeri, DCP Dato' Surina Saad bersama timbalannya, ACP Tuan Baderulhisham Baharudin serta Ketua-ketua Jabatan IPK Perlis.
Sejurus itu, delegasi Timbalan KPN dibawa ke Dewan Serbaguna IPK Perlis untuk majlis penyampaian amanat kepada warga Polis Perlis dan sijil penghargaan kepada 20 penerima atas khidmat cemerlang yang dipamerkan mereka sepanjang tahun ini.
Dalam majlis sama juga, Timbalan KPN dan isteri berpeluang menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 25 orang penerima asnaf di negeri tersebut selain menyantuni pesara polis di Pauh, di sini.
Terdahulu pada hari Isnin, beliau dan isteri telah membuat lawatan kerja di IPK Kedah serta menyampaikan amanat kepada pucuk pimpinan, ketua polis daerah dan formasi di kontinjen tersebut.
Dalam majlis yang berlangsung di Auditorium IPK Kedah itu, seramai 24 warga Polis Kedah turut dianugerahkan sijil penghargaan.
Pada sebelah petangnya pula, Datuk Seri Hj. Mazlan turut berkesempatan menyempurnakan Majlis Perasmian Markas Taktikal Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah, Wilayah 1 yang sebelum ini diubah suai membabitkan kos berjumlah RM200,000. Turut diadakan sama sesi penyerahan dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo kepada PPM Wilayah 1 dan Balai Polis Merbok.
Hadir sama dalam siri lawatan tersebut ialah Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat, Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Bahagian Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, DCP Tuan Sulaiman Yahaya, Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Dato’ Mohd Roze Shaari dan Ketua Urus Setia KPN (Perundangan), SAC Tuan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid