
Artikel
Timbalan Kpn Sempurnakan Majlis Khatam Al Quran Sempena Bulan Ramadan Peringkat Bukit Aman Tahun 2024
Kuala Lumpur, 27 Mac 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Sempe...
Kuala Lumpur, 27 Mac 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Sempena Bulan Ramadan Peringkat Bukit Aman Tahun 2024 Masihi/1445 Hijrah yang berlangsung di Masjid Bukit Aman, pagi tadi.
Ketibaan beliau di perkarangan masjid telah disambut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Sri Azri Ahmad dengan diiringi Ketua Penolong Pengarah (Koordinasi Sumber Sokongan), Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman selaku Pengerusi Masjid Bukit Aman, SAC Azhan Abdul Halim.
Seramai 118 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam telah menyertai Majlis Khatam al-Quran yang dipimpin oleh Imam Masjid Bukit Aman, Sarjan Mejar Hj. Razlee Asmat serta bacaan doa oleh Ketua Imam Masjid Bukit Aman, Ustaz Wan Amzar Fitri Wan Mohd Azlan.
Program tahunan anjuran JIPS dan Masjid Bukit Aman tersebut merupakan sebahagian daripada program santapan rohani serta ilmiah yang disediakan oleh jabatan untuk warga Pasukan setiap kali bulan Ramadan tiba.
Selain dapat bertalaqqi dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga PDRM, majlis tersebut juga merupakan acara kemuncak bagi program Tadarus Al-Quran yang telah berlangsung sejak 15 Mac lalu.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, barisan Pengarah PDRM dan isteri, para pegawai kanan PDRM serta ahli-ahli PERKEP.