
Timbalan Kpn Santuni Warga Jim Menerusi Sesi Bicara Minda Sempena Amanat Tahun Baharu 2026
Putrajaya, 13 Januari 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menyantuni warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan memenuhi undangan sebagai penceramah dalam Sesi Bicara Minda Sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Sektor Operasi JIM yang berlangsung di Ibu Pejabat JIM, di sini.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuh kerjasama strategik dan hubungan erat antara agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri, khususnya dalam aspek keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam sesi Bicara Minda bertajuk "Mengangkat Integriti, Memperkasa Penguatkuasaan", Tan Sri Ayob Khan menekankan bahawa integriti merupakan asas utama dalam setiap tindakan penguatkuasaan, manakala penguatkuasaan yang berkesan memerlukan kepimpinan cekap, kesiapsiagaan operasi, serta kerjasama erat antara agensi untuk menghadapi ancaman keselamatan, sama ada konvensional atau bukan konvensional.
Selain itu, beliau menyeru warga JIM untuk terus menghayati nilai profesionalisme, disiplin serta amanah sejajar dengan aspirasi Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 dalam memperkasa perkhidmatan awam yang berintegriti, cekap, dan berfokuskan rakyat.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Zakaria Shaaban, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Tuan Hj. Basri Hj. Othman, barisan Pengarah Sektor Operasi, barisan Pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Sektor Operasi serta Ketua Bahagian Penguatkuasaan Negeri.
Jurugambar: PDRM RMP TV