
Timbalan Kpn Rasmi Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina 2023
Melaka, 13 Januari 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain hari ini merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas, Ayer Keroh, Melaka (arah selatan), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini.
Dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menumpukan usaha untuk meminimumkan kemalangan jalan raya dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
Tan Sri Razarudin dalam ucapannya berkata, bagi mengurangkan kes kemalangan, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengaplikasikan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah di samping memastikan kelancaran lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Manakala, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan bagi tujuan rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan dan premis perniagaan terutama yang mana pemiliknya telah memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis,” kata beliau.
Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 19 juga, semua elemen JSPT termasuklah bantuan daripada PDRM DRONE UNIT Pasukan Gerakan Udara PDRM akan digerakkan secara optimum bagi membantu menyuraikan trafik terutamanya di kawasan “bottleneck”, menjalankan pemantauan dan menunjukkan kehadiran pihak berkuasa di kawasan yang dijangka berlakunya kesesakan.
Turut diadakan semasa majlis pelancaran tadi ialah mini karnival yang berlangsung selama dua hari sehingga esok, dengan menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti kaunter semakan pembayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih, pameran pelancongan Negeri Melaka serta pameran kenderaan bermotor.
Hadir memeriahkan majlis pelancaran tadi ialah Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek, Tuan V P Shanmugam, Pengarah JSPT selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Sri Mat Kasim Karim, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Sri Zaini Jass, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), CP Dato' Aidi Ismail dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Bisnes), Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Sazali Harun, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif, Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad merangkap Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Polis Johor, CP Dato' Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Melaka, DCP Dato' Zainol Hj. Samah, Pemangku Ketua Polis Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam dan barisan rakan strategik pelancaran Op Selamat 19.
Terdahulu, Tan Sri Razarudin bersama Dato' Sri Zaini dan Dato' Zainol telah menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Dato' Dol Said Taboh Naning dekat Alor Gajah, di sini.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin