
Article
Timbalan Kpn Rasmi Ipd Serdang Hari Ini
Serdang, 22 Februari 2023 - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong di sini, dirasmikan pada pagi ini.
Serdang, 22 Februari 2023 - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong di sini, dirasmikan pada pagi ini.
Majlis perasmian IPD itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain yang turut diiringi isteri beliau merangkap Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman.
Tan Sri Razarudin dalam ucapan perasmiannya berharap IPD Serdang dapat menjadi manifestasi penyampaian perkhidmatan berkualiti dan profesional warga Pasukan kepada masyarakat setempat, selari dengan slogan, 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
"Saya yakin prasarana moden yang dibina dengan kos sebanyak RM60 juta ini, bukan sahaja menjadi mercu kebanggaan buat warga IPD Serdang, tetapi juga dapat menyuntik semangat warga kerjanya untuk menjalankan tugas dengan efisien dalam persekitaran kerja yang lebih kondusif.
"Pada masa yang sama, manfaat ini juga dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat yang datang berurusan di IPD Serdang. Apa yang jelas, selain penyampaian perkhidmatan yang berkualiti serta profesional, persekitaran premis PDRM turut mencerminkan imej Pasukan di kaca mata masyarakat," ujar beliau.
Pada majlis itu Tan Sri Razarudin telah menandatangani plak perasmian Kompleks IPD yang dibawa secara khas menggunakan robot Unit Pemusnah Bom dan menanam pokok sebagai simbolik acara perasmian.
Sebelum itu dapat disaksikan aksi tangkas anggota-anggota Unit Tindakhas PDRM menuruni bangunan dengan membawa beg bimbit berisi pen untuk diserahkan kepada Tan Sri Razarudin bagi menandatangani plak tersebut.
Majlis turut diserikan dengan perarakan masuk Unit Berkuda PDRM yang membawa pemukul gong untuk diserahkan kepada Tan Sri Razarudin dan seterusnya memukul gong sebanyak tiga kali sebagai gimik perasmian.
Turut berlangsung pelbagai persembahan menarik seperti tarian perang oleh Tiger Platoon, peragaan pakaian polis lama dan persembahan perpaduan iaitu tarian singa, bhangra serta tarian minang.
Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kinrara, Tuan Ng Sze Han, barisan Pengarah PDRM, Pemangku Ketua Polis Selangor, DCP Dato' Sasikala Devi Subramaniam, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Anbalagan Arumugam, pengamal media dan para pegawai serta anggota polis.
Jurugambar: Inspektor Muhammad Asiff Jamaldin, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin.






















