
Article
Timbalan Kpn Perkukuh Hubungan Keselamatan Serantau Di Aseanapol Ke 43
Bangkok, 5 November 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay meneruskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) pad...
Bangkok, 5 November 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay meneruskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari ke-3 di Persidangan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) ke-43 yang bermula pada Isnin lalu di Grand Hyatt Erawan Bangkok, di sini.
Dalam persidangan yang diadakan, Tan Sri Ayob Khan telah menghadiri Mesyuarat Pegawai Kanan ke-4 (Senior Officers Meeting) antara PDRM dan Australian Federal Police (AFP) yang diketuai oleh Deputy Commissioner, Lesa Gale.
Mesyuarat tersebut menumpukan kepada pengukuhan kerjasama dua hala dalam aspek perkongsian risikan, siasatan rentas sempadan dan pencegahan jenayah antarabangsa.
Selain itu, beliau turut mengadakan sesi kunjungan hormat bersama wakil National Crime Agency United Kingdom, National Police Agency Jepun, Royal Brunei Police Force, Hong Kong Police Force serta Royal Thai Police bagi memperkukuh hubungan strategik dan memperluas jaringan kerjasama keselamatan serantau.
Pada sebelah petang pula, Tan Sri Ayob Khan telah menyertai kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, H.E. Mr. Anutin Charnvirakul bersama ketua-ketua polis dan wakil agensi penguat kuasa undang-undang dari negara-negara ASEAN di Government House.
Pertemuan rasmi ini menjadi simbol hubungan erat antara agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN serta memperkukuh kerjasama dalam memelihara keselamatan, keamanan dan kestabilan serantau.
Hadir sama, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng dan ACP Perhubungan Antarabangsa, ACP Loh Pey Pey.
Sumber: PDRM RMP TV