
Article
Timbalan Kpn Meriahkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024
Kota Kinabalu, 17 September 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia P...
Kota Kinabalu, 17 September 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, malam tadi.
Tidak ketinggalan menyerikan majlis pada malam tadi ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim bersama isteri Datin Seri Panglima Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hjh. Juliah Salag.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Sabah Maju Jaya diikuti dengan Tarian Sambut Tamu bagi meraikan tetamu-tetamu kehormat yang hadir menyerikan lagi Hari Malaysia yang disambut buat kali ke-2 di negeri di bawah bayu itu selepas tahun 2021.
Sambutan Hari Malaysia yang menginjak ke-61 tahun menyaksikan bagaimana Persekutuan Tanah Melayu bergabung bersama Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 yang membuktikan kebersamaan serta perpaduan rakyat menjamin kesejahteraan negara yang berjiwa Merdeka selari dengan tema pada tahun ini, “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”.
Kemuncak majlis adalah penyerahan Jalur Gemilang kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah oleh para peserta Konvoi Kembara Merdeka Tahun 2024 yang membawa 61 buah Jalur Gemilang sebelum diserahkan kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dikibarkan dengan diiringi lagu Negaraku.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Hj. Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Hj. Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Hjh. Juma’ani Tun Tuanku Hj. Bujang, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, Tuan Ahmad Fahmi Fadzil bersama isteri Puan Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin, barisan pegawai kanan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun.
Jurugambar: Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Sabah