
Article
Timbalan Kpn Kongsi Pandangan Isu Integriti Digital Dalam Bicara Integriti Pagi
Bangi, 8 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pandangan mengenai isu integriti digital dar...
Bangi, 8 Disember 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pandangan mengenai isu integriti digital dari perspektif Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa menjadi panel jemputan dalam Program Bicara Integriti Pagi anjuran Pusat Integriti dan Ombudsman, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung di Bilik Bankuasi, Canselori UKM, pagi tadi.
Program bertemakan “Integriti Era Digital: Transformasi Penilaian Integriti dan Cabaran Risiko Rasuah Baharu” itu secara keseluruhan membincangkan mengenai keperluan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam memperkukuh sistem integriti negara, selaras dengan cabaran rasuah yang semakin kompleks dalam ekosistem digital masa kini.
Panel lain yang turut serta ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Ahmad Nizam Ismail, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali serta Presiden Angkatan Mahasiswa Antirasuah UKM, Saudari Nur Nasrin Syamin Faqihah Md Hanafi. Manakala moderator program dikendalikan oleh Pengetua Kolej Dato’ Onn, Profesor Madya Dr. Zaizul Ab Rahman.
Berkongsi lanjut, Tan Sri Ayob Khan menegaskan bahawa pembangunan sistem integriti yang seiring dengan evolusi digital merupakan keperluan strategik bagi memastikan pemantauan, penilaian serta pengurusan risiko rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih telus, cekap dan berpaksikan data.
Beliau juga menekankan kepentingan pembudayaan integriti sebagai elemen teras dalam penyampaian perkhidmatan PDRM, sekaligus memastikan keyakinan masyarakat terhadap profesionalisme institusi penguatkuasaan terus terpelihara.
Hadir sama, Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Dato’ Hisham Nordin serta Ketua Pegawai Sektor Korporat IIM, Dr. Mona Othman.
Jurugambar: PDRM RMP TV




