
Artikel
Timbalan Kpn Ketuai Delegasi Pdrm Ke Persidangan Aseanapol Ke 43
Bangkok, 4 November 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengetuai delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadiri Per...
Bangkok, 4 November 2025 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengetuai delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghadiri Persidangan Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) ke-43 yang berlangsung di Grand Hyatt Erawan Bangkok, di sini.
Thailand selaku tuan rumah penganjuran tahun ini menjadi hos kepada persidangan selama lima hari bermula 3 hingga 7 November 2025 yang menghimpunkan ketua-ketua polis dan wakil agensi penguat kuasa undang-undang dari negara-negara ASEAN bagi memperkukuh rangkaian kerjasama keselamatan serantau.
Persidangan tersebut menjadi platform penting memperkukuh kerjasama strategik antara negara anggota dalam menangani cabaran keselamatan bersama termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan ancaman keselamatan baharu di rantau ini.
Ia turut berperanan sebagai wadah diplomatik, malah mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara negara terlibat dalam memastikan keamanan serta kestabilan serantau terus terpelihara.
Hadir sama dalam persidangan tersebut ialah Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng dan ACP Perhubungan Antarabangsa, ACP Loh Pey Pey.
Sumber: PDRM RMP TV



