Artikel
Kpn Dan Pat Pengerusi Bersama Mesyuarat Jpgk Ke 80 Perteguh Sinergi Keselamatan Antara Agensi
Kuala Lumpur, 4 November 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Hj. Mohd...
Kuala Lumpur, 4 November 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Hj. Mohd Nizam Hj. Jaffar pagi tadi bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan (JPGK) ke-80 yang diadakan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mesyuarat tersebut menjadi platform utama untuk memperteguh sinergi strategik antara agensi-agensi keselamatan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan serta pertahanan negara kekal utuh dan berdaya tahan, selaras dengan Nilai Teras 1 dan 3 Dasar Keselamatan Negara 2021–2025 iaitu Keselamatan dan Keutuhan Wilayah serta Keselamatan Rakyat.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk penambahbaikan mekanisme gerak kerja agensi dan perangkaan strategi baharu dalam menangani pelbagai isu keselamatan negara, khususnya ancaman jenayah rentas sempadan.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Hj. Muhamad Norazlan Aris TUDM, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, CP Dato' Fisol Salleh serta wakil-wakil daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi keselamatan persekutuan.
Sumber gambar: Angkatan Tentera Malaysia


