
Timbalan Kpn Ingatkan Warga Pdrm Jaga Tingkah Laku Dalam Apa Jua Keadaan
Kuala Lumpur, 2 Februari 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar sentiasa menjaga tingkah laku di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan sekali pun.
Perkara itu dinyatakan beliau sewaktu membacakan Amanat Ketua Polis Negara sempena Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Cawangan Khas yang diadakan di Dataran Kompleks 3, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Jelasnya, sebagai agensi penguat kuasa utama negara, adalah penting untuk warga Pasukan sentiasa menjaga perilaku yang mendukung undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Sebarang kelakuan jenayah atau pelanggaran disiplin akan dikenakan tindakan tegas.
Dalam perhimpunan tadi, beliau turut berkongsi kejayaan terbesar Cawangan Khas pada tahun 2022 melalui kolaborasi bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dalam membanteras Kumpulan Tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang berpusat di Labu, Nilai, Negeri Sembilan.
Kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar apabila 238 ahli kumpulannya terkandas di Madinah setelah terpedaya dengan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, pemimpin kumpulan tersebut yang kononnya akan diangkat sebagai Imam Mahdi di Mekah pada hari Arafah.
“PDRM sama sekali tidak akan membiarkan gerakan ajaran sesat berkembang di negara ini, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, pihak Cawangan Khas dari semasa ke semasa akan terus berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan agensi-agensi berkaitan bagi membanteras sebarang ajaran atau kegiatan yang meragukan,” jelas beliau.
Perhimpunan turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan KPN kepada 34 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing.
Hadir sama, Pengarah Cawangan Khas selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Hj. Baharuddin Hj. Ahmad dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd. Sabri