
Timbalan Kpn Hadiri Majlis Peluncuran Program Keceriaan Antara Kementerian Peringkat Kdn Sempena Bulan Kebangsaan 2023
Putrajaya, 14 Ogos 2023 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini hadir ke Majlis Peluncuran Program Keceriaan Antara Kementerian Peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan tahun 2023.
Majlis bertemakan patriotisme itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Lobi Utama Setia Perkasa 1, Kompleks Setia Perkasa, di sini.
Program ini bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan warga kerja KDN dan turut disambut oleh 25 kementerian lain sepanjang bulan kemerdekaan. Setiap kementerian akan dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya cipta serta nilai tambah yang dipaparkan melalui hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis serta ruang pejabat masing-masing.
Majlis pagi tadi dimeriahkan dengan persembahan khas dari Polis Diraja Malaysia menerusi Unit Tindakhas dan 69 Komando yang membawa jalur gemilang menuruni bangunan Setia Perkasa 1 dengan menggunakan tali untuk diserahkan kepada para tetamu khas sebagai gimik kepada simbolik perasmian.
Persembahan khas tersebut telah diketuai oleh Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan, Sukan dan Rekreasi) Bukit Aman, ACP Nor Azman Mohd Noor dan dibantu oleh para pegawai dan anggota dari Badan Seni Budaya, Muzium PDRM serta PANCARAGAM Pusat PDRM.
Hadir sama, Timbalan MDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Hj. Ruji Hj. Ubi, barisan timbalan KSU KDN, ketua-ketua agensi di bawah KDN dan pegawai kanan PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.