
Article
Timbalan Kpn Hadiri Forum Kerjasama Polis Asia Di Seoul
Seoul, 26 November 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menghadiri Forum Kerjasama Polis Asia yang...
Seoul, 26 November 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini menghadiri Forum Kerjasama Polis Asia yang berlangsung di Hotel Dragon City, Yongsun, di sini.
Dato’ Sri Ayob Khan bersama delegasi yang terdiri daripada Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, SAC Mohd Asmadi Yusoff bersama Penolong Pengarah Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Wong Pooi Lin tiba di Republik Korea Selatan semalam bagi menghadiri Forum Kerjasama Polis Asia bermula 25 hingga 29 November depan.
The Korean National Police Agency (KNPA) menjadi tuan rumah penganjuran forum pada tahun ini yang membincangkan pelbagai isu berkaitan jenayah di peringkat antarabangsa, melibatkan 10 negara peserta termasuk International Criminal Police Organization.
Antara isu yang bakal dibincangkan menerusi forum tersebut termasuklah judi dan eksploitasi jenayah dalam talian, ancaman jenayah siber dan penyeludupan dadah.
Forum tersebut juga membuka peluang kepada semua negara peserta untuk mengembang dan memperkukuhkan kerjasama menerusi International Senior Police Officer’s Command Course atau lebih dikenali sebagai ISPOCC yang turut dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Forum antarabangsa tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Biro Kerjasama Antarabangsa KNPA, Mr. Lee Jun Hyeong dan melibatkan dua sesi pembentangan yang masing-masing dikendalikan oleh Pegawai dari KNPA iaitu Mr. Byeon Gyu-Taek dan Mr. Young-Hoon yang merupakan pakar dalam mengendalikan jenayah kolar putih.
Dato’ Sri Ayob Khan selaku ketua delegasi Malaysia turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama dalam forum berkenaan kira-kira jam 2.30 petang tadi, waktu tempatan.
Berucap berkaitan ‘Langkah-langkah untuk memperkukuh tindak balas serantau dalam membanteras jenayah rentas sempadan’ di hadapan para peserta forum tadi, Dato’ Sri Ayob Khan menyatakan kesediaan dan komitmen PDRM untuk terus menangani jenayah tersebut melalui tindakan yang cekap serta pantas dengan inovasi sedia ada bagi melindungi masyarakat dalam negara dan peringkat antarabangsa.
Beliau turut menggariskan beberapa langkah penting yang perlu diguna pakai untuk tujuan memerangi jenayah tersebut. Antaranya, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, memperkukuh pengawasan sempadan, mengguna pakai sistem biometrik dan teknologi inovasi secara berkesan, meningkatkan latihan dan kemahiran penguatkuasa, memupuk kerjasama di peringkat antarabangsa dengan lebih erat serta mewujudkan sistem perkongsian maklumat komprehensif sesama rakan penguatkuasa.
Dato’ Sri Ayob Khan bersama delegasi dijadualkan membuat pertemuan dua hala dengan Deputy Commisioner KNPA, Mr. Lee Hoyoung, esok.
Pertemuaan dua hala yang akan berlangsung esok bertujuan meningkatkan lagi kerjasama erat di antara PDRM dengan KNPA dalam melindungi rakyat di kedua-dua negara bersahabat, selain membincangkan beberapa isu berkaitan jenayah global.