
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026
Kuala Lumpur, 12 Jun 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pemimpi...
Kuala Lumpur, 12 Jun 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.
Majlis perasmian sidang kemuncak tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Magfur-Lah. Baginda menzahirkan kepentingan peranan pemimpin agama dalam memupuk keamanan, keharmonian sosial dan pembangunan masyarakat di peringkat global.
Sidang kemuncak yang menghimpunkan kira-kira 1,500 pemimpin agama, ulama, cendekiawan, ahli akademik dan pembuat dasar dari 31 negara itu menjadi platform perbincangan mengenai isu keamanan global, keharmonian sosial serta pembangunan dan pemerkasaan belia dalam menghadapi cabaran semasa.
Bertemakan “Religious Leaders and Youth Empowerment: Strengthening Shared Life and Social Harmony”, persidangan tersebut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh budaya saling menghormati, memupuk persefahaman antara masyarakat pelbagai agama serta memperkasa golongan muda sebagai rakan strategik dalam pembinaan komuniti yang aman dan berdaya tahan.
Kehadiran Tan Sri Ayob Khan mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam menyokong usaha memperkukuh perpaduan, toleransi serta keharmonian masyarakat demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.
Turut hadir, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Dato’ Seri Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa serta para pemimpin agama, tokoh akademik dan delegasi antarabangsa.
Jurugambar: PDRM RMPTV



