
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Program Gotong Royong Kampung Angkat Madani Kdn Anjuran Pdrm
Gerik, 2 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Program Gotong-Royong Kampung Angkat MADA...
Gerik, 2 Disember 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Program Gotong-Royong Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Beng, Lenggong, di sini, semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang tiba pada jam 10 pagi dengan diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah.
Program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama KDN itu merupakan aktiviti bulanan yang direncanakan bagi setiap jabatan dan agensi di bawah KDN untuk menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat selain merapatkan jurang kemudahan asas antara desa serta bandar.
Terdahulu, Kampung Beng telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI KDN dalam majlis pelancaran yang disempurnakan oleh MDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 12 Mei lalu sebagai usaha kerajaan bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Majlis dimulakan dengan aktiviti gotong-royong oleh warga PDRM bersama penduduk setempat yang diadakan di Sekolah Agama Al-Tahzib, Kampung Beng.
Tentatif program diteruskan dengan sesi lawatan ke Pondok Polis Sementara Kampung Beng, diikuti majlis ringkas penanaman pokok yang disempurnakan oleh tetamu jemputan sebagai simbolik perasmian pondok polis tersebut.
Dato' Sri Ayob Khan bersama tetamu turut dipersembahkan gimik perasmian iaitu aksi T-Baton oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik serta persembahan demonstrasi Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM.
Majlis kemudian disusuli dengan edaran topi keledar baharu kepada lima wakil penduduk kampung sebagai simbolik kepada Kempen Keselamatan Jalan Raya yang mendidik penduduk tentang kepentingan keselamatan di jalan raya.
Seusai ucapan oleh Dato’ Seri Saarani, para tetamu jemputan turut meluangkan masa melawat tapak-tapak pameran yang disediakan.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik disediakan sepanjang program berlangsung termasuk diskaun saman oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen PERAK sebanyak 50% bagi kesalahan-kesalahan terpilih, pameran aset jabatan dan agensi di bawah KDN, pertandingan mewarna kanak-kanak serta “Fun Ride”.
Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat, Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, SAC Rahimi Ra’ais, barisan Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Perak serta para pegawai KDN.
Jurugambar: PDRM RMP TV