
Article
Timbalan Kpn Hadir Perhimpunan Bulanan Kdn Anjuran Bersama Rela
Putrajaya, 21 Jun 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Neg...
Putrajaya, 21 Jun 2024 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi bulan Jun yang berlangsung dekat Auditorium Setia Perkasa 8, Kompleks Setia Perkasa, di sini.
Perhimpunan anjuran bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu telah disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Seri Saifuddin menzahirkan kebimbangan mengenai jenayah komersil yang semakin meningkat di negara ini. Jelas beliau, trend jenayah komersil yang pelbagai telah mencatatkan kerugian besar bukan sahaja kepada mangsa, malahan juga negara dan ia perlu diberi perhatian serius.
Justeru, Datuk Seri Saifuddin bersama kepimpinan KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai penambahbaikan dari sudut undang-undang serta kekuatan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dalam usaha membanteras jenayah kolar putih tersebut.
Turut berlangsung dalam majlis sama ialah penyampaian Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh Timbalan Ketua Setiausaha (KSU) (Keselamatan) KDN, Dato' Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman kepada RELA yang diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), TKPjR Mahather Smoh, sambil disaksikan Datuk Seri Saifuddin.
Hadir sama, Timbalan KSU (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Mohd Zamri Mat Zain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Khaw Kok Chin, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Rusdi Mohd Isa, Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman, CP Dato' Abdul Aziz Abdul Majid, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN serta para pegawai kanan PDRM.