
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Majlis Pelancaran Mushaf Al Huffaz Dan Perasmian Program Wakaf Al Quran Peringkat Kebangsaan 2024
Majlis anjuran Nasyrul Quran bersama Yayasan Restu tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah...
Kuala Lumpur, 2 Mac 2024 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay malam tadi hadir ke Majlis Pelancaran Mushaf al-Huffaz dan Perasmian Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya, di sini.
Majlis anjuran Nasyrul Quran bersama Yayasan Restu tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, selaku Penaung Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan diiringi Timbalan Menteri Kerja Raya selaku Timbalan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Seri Hj. Ahmad Hj. Maslan.
Bertemakan “Gaya Hidup Islami”, majlis tersebut merupakan salah satu pengisian program sempena Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) yang berlangsung selama 10 hari, bermula 23 Februari hingga 3 Mac depan.
Majlis dimulakan dengan ucapan pengenalan Mushaf al-Huffaz oleh Pengerusi Sekretariat Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan, Datuk Mohd Asyaharim Abdul Latiff sebelum TPM melancarkan Mushaf al-Huffaz serta merasmikan Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024.
Kemuncak majlis malam tadi menyaksikan TPM yang diiringi Dato' Sri Ayob Khan menyempurnakan acara penzahiran dan simbolik perasmian dengan menurunkan tandatangan di lembaran Mushaf al-Huffaz.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Dasar), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu dan Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa serta Pengerusi Lembaga Penasihat Nasyrul Quran, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh Hj Che Mat.