
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Majlis Konvokesyen Cfip 2025
Putrajaya, 4 Mei 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir ke Majlis Konvokesyen Program Pensijilan Penyiasa...
Putrajaya, 4 Mei 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir ke Majlis Konvokesyen Program Pensijilan Penyiasat Kewangan Bertauliah (CFIP) 2025 yang berlangsung di Dewan Menara Seri Wilayah, di sini, petang tadi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil seterusnya ia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Program CFIP yang dianjurkan oleh NFCC di bawah Jabatan Perdana Menteri merupakan satu inisiatif strategik untuk memperkukuh kompetensi pegawai penguatkuasa undang-undang daripada pelbagai agensi kerajaan, khususnya melibatkan pemantapan pengetahuan, kemahiran teknikal serta integriti dalam pelaksanaan siasatan kewangan secara profesional dan berkesan.
Dalam majlis tersebut, seramai 135 graduan daripada pelbagai latar belakang agensi penguatkuasaan telah berjaya ditauliahkan sebagai penyiasat kewangan berkelayakan, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam membanteras jenayah kewangan secara lebih holistik dan bersepadu.
Majlis kemudian melabuhkan tirai dengan sesi menandatangani Memorandum Persetujuan antara NFCC dan Universiti Teknologi Malaysia melibatkan kolaborasi strategik antara kedua-dua entiti dalam kerjasama melibatkan penyelidikan, pembangunan kepakaran serta pengukuhan ekosistem kewangan negara yang telus, berintegriti dan berdaya tahan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan Ahli Lembaga Penasihat NFCC dan barisan pegawai kanan kerajaan.
Jurugambar: PDRM RMP TV




