
Artikel
Timbalan Kpn Hadir Majlis Amanat Mdn Sempena Tahun Baharu 2026
Putrajaya, 8 Januari 2026 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, pagi tadi menghadiri Amanat Tahun Baharu 2026 yang...
Putrajaya, 8 Januari 2026 - Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, pagi tadi menghadiri Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI.
Beliau yang hadir bersama barisan Pengarah Polis Diraja Malaysia, mendengar amanat yang disampaikan oleh MDN yang menekankan beberapa isu teras sebagai fokus utama KDN bagi tahun 2026, selain menyentuh isu-isu semasa berkaitan usaha berterusan mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
Datuk Seri Saifuddin Nasution turut menghuraikan pencapaian tiga tahun Kerajaan MADANI yang menyaksikan kestabilan politik semakin mantap, pertumbuhan ekonomi memberangsangkan serta kebajikan rakyat diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai bantuan tunai.
Beliau juga menyeru setiap agensi di bawah KDN supaya mengekalkan momentum dan tekad untuk bekerja sebagai satu pasukan, menggembleng seluruh kekuatan serta keupayaan dengan semangat berat sama dipikul demi memastikan KDN melaksanakan tugas hakikinya dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Majlis sama turut menyaksikan peluncuran Pelan Strategik KDN 2026-2030 yang merupakan dokumen perancangan strategik dan hala tuju utama kementerian bagi tempoh lima tahun, berteraskan tema “Merevolusikan KDN Berasaskan Teknologi Pintar” yang bertujuan memperkukuh keselamatan dalam negeri dan negara secara menyeluruh serta berterusan, selaras dengan usaha mentransformasikan pendekatan keselamatan dan penyampaian perkhidmatan melalui teknologi serta inovasi berimpak tinggi.
Selain itu, turut dilancarkan Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan Negara KDN 2026-2030 yang bertujuan memodenkan operasi sempadan melalui integrasi teknologi terkini, pengukuhan tadbir urus serta penyeragaman kerjasama antara agensi penguatkuasaan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, barisan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yussof serta Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim.
Jurugambar: PDRM RMP TV



