Tiga Suspek Kes Bunuh Di George Town Ditahan
George Town, 9 Julai - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat
dalam kes bunuh seorang wanita yang ditemui mati di dusun durian
berhampiran Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort,
Bukit Genting, Balik Pulau semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata suspek berusia antara 45 dan 56 tahun itu ditahan berasingan di sekitar George Town dan Jalan Patani pada pukul 10.30 malam tadi.
"Seorang
daripada suspek yang ditahan adalah teman lelaki mangsa. Polis percaya
kes pembunuhan bermotif cemburu," katanya kepada pemberita di sini hari
ini.
Semalam
dua pengutip durian menemui mayat wanita tanpa dokumen pengenalan diri
dalam keadaan tersangkut pada pagar sempadan kem PLKN berkenaan pada
pukul 8.30 pagi.
Mazlan
berkata siasatan lanjut mendapati wanita warga China yang dikenali
dengan nama Jun Xing, 37, adalah seorang pekerja sebuah pusat kecantikan
di bandar raya ini dan tinggal di Pulau Pinang selama lima tahun.
"Wanita
itu dikatakan keluar dari rumahnya pada pukul 6.30 petang, Ahad lepas
dan tidak balik ke rumah selepas itu. Mangsa dipercayai dibunuh di
tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan dusun itu," katanya.
Beliau berkata seorang lagi suspek yang ditahan adalah pemilik pusat kecantikan tempat mangsa bekerja.
Katanya
keputusan bedah siasat menunjukkan wanita itu ditikam sebanyak 17 kali
di bahagian belakang badan dan lehernya turut dikelar sepanjang 10
sentimeter menggunakan objek tajam bagaimanapun tiada unsur kekerasan
seksual ditemui.
Beliau
berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh.
Sumber : BERNAMA