Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tiga Remaja Ditahan Cuba Pecah Masuk Kedai Kecantikan

Diterbitkan: 25 Oct 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Polis menahan tiga remaja lelaki kerana cuba memecah masuk sebuah kedai menjual produk kesihatan dan kecantikan di Jalan Niaga 3, pusat bandar ini Jumaat lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-remaja-ditahan-cuba-pecah-masuk-kedai-kecantikan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:26 MYT

Kota Tinggi, 25 Okt - Polis menahan tiga remaja lelaki kerana cuba memecah masuk sebuah kedai menjual produk kesihatan dan kecantikan di Jalan Niaga 3, pusat bandar ini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata kejadian kira-kira 2.30 pagi itu disedari lima anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Kota Tinggi yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut.

"Terdahulu, anggota polis telah terserempak dengan dua remaja lelaki berusia 13 tahun yang sedang membuka mangga pintu 'shuttle' kedai tersebut.

"Setelah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, kedua-dua mereka bertindak melarikan diri, namun, berjaya ditahan di Jalan Niaga 1," katanya.

Rahmat berkata difahamkan, dua remaja terbabit menggunakan basikal yang diletakkan berhampiran kawasan tersebut untuk memudahkan mereka melarikan diri.

Beliau berkata berpandukan maklumat daripada salah seorang suspek, anggota CPJ kemudian berjaya menahan seorang lagi remaja lelaki berusia 14 tahun di Jalan Tambatan.

Katanya dua daripada remaja itu merupakan pelajar sekolah menengah di bandar ini manakala seorang lagi adalah bekas pelajar yang dibuang sekolah.

Menurut Rahmat, kesemua mereka mengaku cuba menceroboh masuk kedai tersebut dan mereka kemudian dibawa ke Balai Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

"Kes itu dikategorikan sebagai 'Tiada Tindakan Lanjut' ( NFA) berikutan pemilik premis tersebut bersetuju untuk tidak meneruskan kes ekoran tiada kehilangan dan kerugian yang dialami.

"Polis bagaimanapun memberikan nasihat dan amaran keras kepada remaja terbabit serta keluarga mereka supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 25 Oct 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM