Tiga Pasangan Indonesia Ditahan Bersabit Beberapa Kes Jenaya
Shah
Alam, 2 Ogos - Tiga pasangan suami isteri warga Indonesia ditahan polis
di Petaling Jaya Rabu lepas kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes
pecah kereta, samun dan ragut di sekitar Lembah Klang.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Mohd Adnan Abdullah berkata
suspek yang berusia lingkungan 23 hingga 41 tahun itu ditahan dalam
serbuan polis di sebuah rumah di Petaling Perdana, Petaling Jaya dekat
sini.
Beliau
berkata serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari
Bukit Aman selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu
melalui maklumat orang awam.
"Dalam
serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi itu, pasukan polis menemui pelbagai
barangan dipercayai (barang) curi seperti kamera, video kamera, telefon
bimbit, komputer riba, beg tangan dan rim motosikal yang dianggarkan
bernilai hampir RM10,000.
"Turut
dirampas dalam serbuan itu ialah alatan gerudi dipercayai digunakan
untuk melakukan kegiatan jenayah lain termasuk pecah masuk premis
bangunan dan rumah. Kami percaya barang-barang yang dirampas ini hasil
daripada kegiatan mereka yang dilaporkan di Sunway dan Kajang baru-baru
ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor
hari ini.
Mohd
Adnan berkata siasatan awal menunjukkan suspek menjual sebahagian
barangan yang diperolehi daripada kegiatan jenayah mereka terutama yang
bernilai tinggi seperti barangan kemas dan jam tangan bagi memperoleh
wang tunai selain bertujuan untuk melupuskan bukti.
"Kami
masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sejak bila kesemua
suspek mula aktif menjalankan kegiatan jenayah ini. Mereka juga
mempunyai pasport antarabangsa dan kami telah hantar dokumen ini untuk
pemeriksaan Jabatan Imigresen," katanya.
Kesemua suspek direman empat hari berakhir Ahad ini untuk siasatan lanjut.



Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor