Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Tiga Nelayan Selamat

Published: 28 Dec 2017 3.31 AM Updated: 17 Jul 2026 11.48 AM
Tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Tenggol, Dungun ditemui selamat, hari ini.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-nelayan-selamat
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 18:21 MYT


Tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Tenggol, Dungun ditemui selamat, hari ini.

Chang Chee Hoo, 36, Loh Chong Yong, 60, dan seorang lagi rakan mereka dikenali Ah Chai, 58, ditemui nelayan tempatan di kawasan perairan Kemaman pada 3.15 petang.

Isteri Chang, Chong Yoke Lan, 34, berkata, suami dan dua rakan itu keluar memancing dan menahan bubu kira-kira 11.30 pagi semalam.

Menurutnya, kebiasaannya suami akan pulang pada hari sama selepas keluar memancing tetapi tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi.

"Saya sangat risau apabila dia tidak pulang. Saya cuba telefon dia tetapi tidak dapat.

"Saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan dan petang ini saya terima panggilan telefon daripada suami yang memaklumkan mereka bertiga selamat.

"Suami memaklumkan bahawa bot mereka mengalami kerosakan enjin sejak semalam dan berikutan itu bot hanyut sebelum ditemui nelayan di perairan Kemaman," katanya.

Yoke Lan berkata, bot suaminya itu sedang ditunda ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan bahawa tiga nelayan terbabit selamat. - HARIAN METRO ONLINE

ArticlePublished 28 Dec 2017 3.31 AMUpdated 17 Jul 2026 11.48 AM