Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Tiga Lelaki Positif Dadah Ditahan Dalam Ops Roda Di Johor

Published: 13 Apr 2015 9.23 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Johor Baharu, 13 April - Polis menahan tiga lelaki didapati positif terhadap dadah menerusi Operasi Roda Bersepadu yang dilakukan di seluruh negeri mulai malam tadi hingga awal hari ini.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-lelaki-positif-dadah-ditahan-dalam-ops-roda-di-johor
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 24/09/2026 22:50 MYT

Johor Baharu, 13 April - Polis menahan tiga lelaki didapati positif terhadap dadah menerusi Operasi Roda Bersepadu yang dilakukan di seluruh negeri mulai malam tadi hingga awal hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Johor Supt Baharudin Mat Taib berkata ketiga-tiga mereka adalah antara 1,438 pengguna jalan raya yang diperiksa menerusi ops itu bermula 9 malam hingga 3 pagi tadi.

"Kesemua mereka yang berusia lingkungan awal 20-an itu ditahan dalam operasi di Jalan Pantai Lido dan Danga Bay, di sini.

"Pemeriksaan mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita hari ini.

Baharudin berkata operasi yang bertujuan menangani mat rempit itu memeriksa 1,207 kenderaan di seluruh negeri yang membabitkan 659 motosikal, 477 kereta dan 71 kenderaan lain.

Beliau berkata sebanyak 380 saman dikeluarkan membabitkan 234 motosikal, 135 kereta serta 11 kenderaan lain manakala 78 kenderaan disita, membabitkan 57 motosikal dan 21 kereta.

Operasi tersebut melibatkan 103 pegawai dan anggota cawangan Trafik serta Jabatan Narkotik Kontinjen Johor, katanya.

Menurut Baharudin, sehingga kini, sebanyak 14,842 pengguna jalan raya diperiksa manakala 6,704 saman dikeluarkan menerusi 549 Operasi Roda Bersepadu, sejak ia dilancarkan di seluruh negeri mulai 2 Feb lepas.

Beliau berkata kebanyakan kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya termasuk tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan serta mengubah suai struktur kenderaan.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan bagi membendung gejala mat rempit di negeri ini.

BERNAMA

ArticlePublished 13 Apr 2015 9.23 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM